Monday, 20 August 2012

Bangkit Daripada Kegagalan


Bangkit Daripada Kegagalan


Seseorang yang gagal dalam cubaan pertama mesti belajar daripada kesilapan dan membaikinya.



KEINGINAN untuk berubah tetap ada dalam diri seseorang. Memang ramai orang yang gagal mencapai kejayaan tetapi mereka terus berusaha.


Cuba renungkan firman Allah s.w.t. yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah bantuan (untuk menghadapi kesusahan dalam menyempurnakan perintah Tuhan) dengan sabar dan mengerjakan solat." - (Surah al-Baqarah: 153)

Ketika sedih, hampa, sakit hati, takut dan risau, inilah masanya kita perlu bangkit dengan segera dan bersolat. Apa yang diperlukan pada masa itu adalah ketenangan jiwa. Dan solat merupakan penyejuk hati dan pembuka kebahagiaan.

Apabila semangat semakin luntur dan kita tidak tahu ke mana hendak dituju, duduklah sebentar dan fikirkan kembali apa yang kita telah lakukan.Elok juga kalau kita belajar daripada kisah seekor keldai yang hampir mati tertimbus.

Di sebuah kampung di pedalaman, keldai merupakan harta penting untuk petani. Suatu hari, seorang petani mundar-mandir di sekitar rumahnya kerana mencari keldai yang hilang. Setelah penat, dia duduk di pangkin rumahnya memikirkan nasib keldai itu. Kemudian, perlahan-lahan dia mendengar suara rengekan seakan-akan seseorang berada dalam kesusahan. Beringsut-ingsut si petani mencari arah suara itu dan rupa-rupanya itu ialah suara keldai yang sedang dicarinya.

Keldai itu tersesat dan terjatuh ke dalam perigi lama yang dilitupi daun-daun pokok di atasnya.
"Apa yang harus dibuat? Perigi ini dalam dan kalau ditarik keluar, terlalu bahaya," bisik hatinya. Lama berfikir, dia memutuskan untuk menimbus sahaja keldainya.

Si petani mengajak beberapa orang rakannya untuk mengambus perigi tadi. Semasa membuat kerja, dia menutup kedua-dua telinganya kerana tidak sanggup mendengar pekikan keldainya. "Cepat timbus, biar suara keldai ini tidak kedengaran lagi." Peluh mencurah-curah keluar dari dahi petani dan rakan-rakannya.

Sehinggalah suara keldai tidak kedengaran barulah mereka berhenti. Menyangka keldai sudah mati, mereka berdiri di tepi perigi untuk melihat apa yang berlaku. Sungguh menakjubkan! Pandangan mereka terpaku pada seekor keldai yang masih kuat, segar dan sambil menggoyang-goyangkan ekor ke kiri dan kanan.

Setiap kali tanah jatuh ke atas badannya, keldai itu akan menggoyangkan punggungnya, menjatuhkan timbunan tanah lalu menginjak-injak sehingga menjadi padat. Melihat keadaan ini, petani tambah bersemangat dan menyiapkan usaha mereka sehinggalah keldai itu dapat melompat keluar dan berlari pergi.

Seperti juga kisah keldai ini, kehidupan kita akan terus dituangkan tanah dan kekotoran yang berupa kesedihan, masalah, ujian dan cubaan hidup. Hanya ada satu cara untuk keluar daripada keadaan tersebut iaitu menggerakkan akal untuk membuang segala kesedihan daripada hati. Dengan cara itulah, anda dapat menjadikan semua masalah seperti tanah untuk dipijak dan melompat keluar dari perigi kesengsaraan. Kejayaan dan kegagalan untuk berubah adalah silih berganti. Tidak ada sesuatu yang kekal kerana setiap masa kita berubah.
Hanya kepada Allah kita berharap dan memohon pertolongan.

Allah berfirman: "Tidakkah Kami (Allah) telah melapangkan dadamu (Ya Muhammad)? Dan telah Kami ringankan bebanmu yang berat. Yang memberati tanggunganmu. Dan Kami tinggikan (muliakan) namamu? Sesungguhnya di samping kesukaran ada kemudahan. Sesungguhnya di samping kesukaran ada kemudahan. Apabila engkau telah selesai (mengerjakan sesuatu pekerjaan), maka bersusah payahlah (mengerjakan yang lain pula). Dan kepada Tuhanmu kamu berharap." - Surah al-Insyirah: 1-8

Gagal adalah sunah kehidupan. Yang lalu biarlah berlalu. Kita perlu pandang ke hadapan.
Ahli sukan yang bangga dengan kejayaan, jutawan yang megah dengan kekayaan dan ahli politik yang teruja dengan kekuasaan bersetuju bahawa seseorang yang gagal dalam cubaan pertama mesti belajar daripada kesilapan dan membaikinya!